kisah 1 -
Tunang mangsa rompak plaza tol tetap setia
utusan malaysia - 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR 18 Jun - "Saya tetap setia dan sayang. Saya tidak akan tinggalkan dia," demikian tegas Norfaizan Abu Kassim, 27, tatkala ditanya sekiranya hatinya berubah selepas tunang tercinta kudung kakinya sebelum sempat mereka berkahwin.
Norfaizan merupakan tunang kepada jurutol, Mohd. Haffiz Zamri, 26, yang parah ditembak di kaki kanan oleh sekumpulan penjenayah yang melarikan wang kutipan hasil tol semasa dia bersama rakannya, Nurijah Rosli, 24, dalam perjalanan menghantar wang tersebut ke pejabat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Plaza Tol Seremban pada Khamis lalu.
Akibat kejadian tersebut, Mohd. Haffiz mengalami kecacatan kekal apabila terpaksa dipotong kaki kanannya pada Jumaat lalu untuk menyelamatkan nyawanya kerana kecederaan dialami boleh mengakibatkan jangkitan pada buah pinggang.kisah 2 -
Asam garam rumah tangga -- Ditinggal suami kerana cacat
utusan malaysia - 16 Jun 2012
Seseorang lelaki digalakkan melihat dulu bakal isterinya sebelum mereka diijabkabulkan bagi mengelak berlakunya keraguan setelah hidup bersama.
Namun pernahkah anda membayangkan apa akan terjadi kepada pasangan suami isteri yang tidak pernah berkenalan dulu sebelum sah menjadi suami isteri?
Asam Garam Rumah Tangga menyingkap tindakan seorang suami meninggalkan isterinya setelah menyedari isteri yang dinikahinya itu mengalami sedikit kecacatan sejak lahir.
Akibatnya si isteri yang malang itu dihina dan tidak diberi layanan yang tidak sepatutnya oleh suami dengan alasan dia (suami) telah tertipu.
Zuraidah Ibrahim (bukan nama sebenar) bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah agama berhampiran kediamannya.
Sebagai anak kampung Zuraidah dididik dengan sifat-sifat mulia untuk menjadi wanita solehah. Tingkah laku dan tutur katanya memang bersopan-santun dan menjadi pujian jiran sebelah-menyebelah.
Zuraidah tidak mempunyai teman lelaki. Oleh yang demikian urusan menentukan jodohnya diserahkan bulat-bulat kepada orang tuanya.
Keluarga si lelaki telah melihat Zuraidah dan tentunya mereka berkenan dengan penampilannya yang cukup menawan. Tambahan pula Zuraidah bertudung. Memang itulah yang mereka cari-cari.
Kata pemutus diperolehi. Akhirnya tetaplah jodoh Zuraidah dengan Amiruddin. Pertunangan Zuraidah dengan Amiruddin dilangsungkan dalam suasana sederhana tetapi meriah.
Kerana percayakan ibu saudaranya Amiruddin tidak ambil kisah tentang diri Zuraidah, tambahan pula ibu dan kakak-kakaknya semua telah melihat Zuraidah.
Mereka semua memuji-muji Zuraidah dan menyifatkan Amiruddin bertuah kerana mendapat bakal isteri yang cantik, bersopan-santun dan rajin beramal.
Pertunangan Zuraidah dengan Amiruddin cuma selang tiga bulan kemudian hari bahagia mereka pun menjelma.
Atas permintaan Zuraidah tidak ada persandingan diadakan, cukup setakat makan beradab bersama tetamu di khemah.
Pada malam pernikahan, Amiruddin terpegun melihat kecantikan Zuraidah. Memang betul kata ibunya, Zuraidah memang sesuai untuk dijadikan 'ibu rumah.'
Setelah upacara membatalkan air sembahyang berlangsung, Zuraidah dengan titisan air mata mencium tangan Amiruddin dengan penuh syahdu sambil berdoa semoga jodohnya akan berkekalan.
Biarpun Zuraidah agak kekok kerana tidak biasa dengan Amiruddin tetapi kerana tanggungjawab dia berusaha memenuhi tanggungjawabnya sebagai isteri.
Pada malam pertama Zuraidah merasa amat bimbang kerana takut rahsianya akan diketahui Amiruddin. Memang dia telah menyuarakan kebimbangan itu kepada ibunya tetapi ibunya menasihatinya supaya tidak terlalu memikirkan perkara itu.
"Itu perkara kecil sahaja Idah...jangan kamu risau. Mak percaya semuanya akan berjalan dengan baik, insya-Allah,.'' kata ibunya.
"Tetapi mak, kan lebih baik kita berterus terang dengan mereka.
Idah rasa itu lebih menampakkan keikhlasan kita,'' kata Zuraidah.
Kata-kata Zuraidah tidak diambil kisah oleh ibunya yang memang tidak mahu memberitahu perkara itu kepada pihak Amiruddin kerana bimbang mereka akan membatalkan hajat melamar Zuraidah. Sampailah kepada saatnya kini di mana Zuraidah terpaksa berdepan dengan Amiruddin seorang diri.
Mahu tidak mahu Zuraidah harus menerima hakikat bahawa Amiruddin akan mendapat tahu tentang rahsia dirinya selama ini. Memang tidak siapa yang tahu bahawa Zuraidah mengalami kecacatan pada telinganya sebelah kanan. Telinga tersebut tidak mempunyai cuping dan ini bermakna Zuraidah hanya mendengar menggunakan sebelah telinga sahaja.
Itulah rahsia yang disimpannya sejak lahir. Selain keluarganya tidak ada sesiapa yang lain mengetahui rahsia itu lantaran setiap masa Zuraidah selalu bertudung. Jika tidak dia menyembunyikan telinganya itu dengan rambutnya yang panjang.
Minggu pertama perkahwinan mereka tinggal di rumah ibu bapa Zuraidah. Satu malam ketika Zuraidah keluar dari bilik mandi, Amiruddin terlihat sesuatu yang ganjil pada telinga isterinya.
Dia tidak bertanya tetapi hanya memerhati. Zuraidah yang perasan perubahan pada Amiruddin menjadi serba salah. Dia memandang suaminya.
"Ada apa-apa yang tidak kena bang...?'' soalnya lembut. Amiruddin tidak menjawab tetapi bangkit menuju ke arah Zuraidah dan menyelak rambut di sebelah kanan. Apa lagi, berderau darahnya. Zuraidah pucat dan mula menangis sambil meminta maaf berulang kali.
"Maafkan saya bang...maafkan saya,'' katanya.
"Kenapa tidak berterus terang dengan saya dulu? Mengapa merahsiakan perkara ini? Kamu nak tipu saya ke?'' Amiruddin bertanya bertubi-tubi.
"Tidak...saya tidak berniat untuk menipu abang...saya minta maaf, saya sudah suruh emak berterus terang tapi...,'' tambah Zuraidah teresak-esak.
"Sudahlah...mulai hari ini saya akan keluar dari rumah ini. Jangan cari saya lagi. Saya malu,'' katanya.
Selepas berkata-kata Amiruddin bergegas keluar dengan membawa beg pakaiannya sekali. Ayah dan ibu Zuraidah yang sedang menonton televisyen terkejut. Zuraidah tersandar lesu mengenang nasibnya.
"Saya sudah beritahu mak dulu supaya berterus terang dengan keluarganya tetapi mak kata tak payah. Sekarang tengoklah...saya malu mak. Mana saya nak taruh muka saya ini,'' rintih Zuraidah.
Ibu saudara Amiruddin yang mengaturkan pernikahan mereka segera dipanggil. Bergegas orang tua itu datang bersama suaminya.
Kepada mereka diceritakan segala masalah yang timbul. Masing-masing terkejut dan kehairanan.
"Berilah masa kepada kami untuk memujuknya. Insya-Allah berdoalah semoga dia akan sedar kesilapannya,'' kata ibu bapa Amiruddin.
Pun begitu ayah dan ibu Zuraidah tidak duduk diam. Mereka turut membuat laporan kepada pejabat kadi tentang tindakan Amiruddin. Biarpun merasakan mereka yang bersalah tetapi kerana maruah mereka terpaksa.
"Bersabarlah saudara, mudah-mudahan segalanya akan selamat. Saya pasti menantu saudara memerlukan masa untuk berfikir.
"Boleh jadi dia terkejut dengan apa yang dilihatnya. Itulah salahnya apabila kita menyembunyikan rahsia. Lambat laun akan terbuka juga. Yang menanggung kesannya adalah anak menantu kita, bukan kita,'' nasihat kadi.
Segala kejadian yang berlaku menjadi iktibar bagi keluarga Zuraidah. Namun Zuraidah menerima hakikat yang dirinya kekurangan berbanding wanita lain.
Sebagai isteri dia patuh kepada keputusan Amiruddin tetapi tetap menaruh harapan satu hari nanti Amiruddin akan menerimanya kembali.
- Oleh NORMALA HAMZAH
------------------------------------------------------------------------------------------------
.... bertanyakan pada diri sendiri, kalau korang agaknya kategori yang mana satu?
tidak perlu untuk diluahkan, secara jujur yang hanya perlu dijawab di dalam hati...
No comments:
Post a Comment